Tuesday, August 29, 2006
Pos MERDEKA!
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tiba-tiba terasa nak tulis pos terakhir ni sebelum saya bercuti panjang di rumah bermula esok sempena hari merdeka.Bukannya di rumah tiada internet, tapi rasanya patutlah saya menghabiskan masa di rumah bersama keluarga, daripada melayari internet yang hari-hari saya lakukan ketika di pejabat.Tapi janganlah berprasangka, kerana saya melayari internet bila tiada kerja atau waktu rehat dan selepas pukul 5 sahaja.Haha.Belum sampai ke rumah pun, ibu saya dah siap mengatur aktiviti untuk saya sampai lah saya pulang kembali ke sini Ahad ini! OK Ma, you own me for the whole weekend!(Saya pun sangat bersemangat untuk menulis pos dalam bahasa Melayu sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan kita esok!)
Sempena ulangtahun kemerdekaan kita esok, saya nak membawa anda semua menghayati kemerdekaan.Sebelum ni, saya memang seperti segelintir anda yang tak kisah langsung pasal hari merdeka.Yang kita teruja setiap kali 31 Ogos adalah cuti umum dan adakah ianya bersambung dengan cuti hujung minggu?Kalau bersambung, cuti berturut-turut lah kita.Tak payah pergi kuliah atau pejabat.Yey!Sama macam tahun ni, ada cuti tersepit pada hari Jumaat (kerana 31 Ogos hari Khamis),maka ramailah yang tak muncul di kulah/pejabat hari Jumaat nanti sebab sambung bercuti sehingga hujung minggu…(termasuk saya).Ha, lagi satu, yang menarik dan ditunggu-tunggu setiap kali ulangtahun merdeka (dan perayaan-perayaan utama Negara yang lain) sudah semestinya iklan merdeka.Kita akan disajikan pelbagai iklan menarik yang mengusik jiwa dan rasa, sebagai inisiatif untuk rakyat Malaysia menghargai betapa bernilainya erti kemerdekaan. Contohnya tahun ni kita dapat lihat iklan Petronas tentang masyarakat di Sabah (pemandangan laut dan pantai yang sangat mempesona!), iklan Proton tentang anak murid dan guru (serta model terdahulu kereta Proton dan Satria Neo) dan TM-bekerja dari rumah…yag lain mungkin belum keluar atau saya tak berapa ingat.Maaflah ya.
Jadi apakah kepentingannya kemerdekaan selain apa yang telah saya sebutkan di atas?Berapa ramai antara generasi muda kita yang sedar dan ingin mengambil tahu erti kemerdekaan yang kita kecapi 49 tahun lepas? Setelah mengambil kira pandangan dan pelbagai pendapat professional mahupun amatur daripada pelbagai sumber (terutama internet) ini, saya terasa semangat kemerdekaan membara dalam jiwa saya.Mengapa? Sebab kita sepatutnya berasa beruntung menjadi anak merdeka.Walaupun belum merdeka dari segi penjajahan minda, setidak-tidaknya kita dah merdeka dari jajahan fizikal.Bukankah ini lebih baik daripada dijajah minda, jiwa dan fizikal sekaligus sekarang?Mungkin kalau ini berlaku ,kita akan tetap pakai pakaian dari guni yang dipintal ataupun makan ubi kayu kerana kekurangan makanan sekarang.
(beberapa saat kemudian)
Tiba-tiba saya ingin berubah fikiran pula.Betulkah kita ni dah merdeka sebenarnya?Kita dah merdeka secara fizikal ke?Apa buktinya?
Pemerintahan : Hmm, masih sekular.Kalau merdeka, bukankah kita patut kembali kepada corak pemerintahan zaman Kesultanan Melayu Melaka, yang mengamalkan hukum hudud dan qisas (secara keseluruhannya, hukum Islam lah.Kata negara Islam).Kita sekarang kan masih menggunakan hukum tinggalan British dan undang-undang sivil yang mereka bawa.Jadi,mana merdekanya?
Budaya : Hmm , jauh sekali.Budaya Melayu semakin pupus, budaya penjajah pula semakin disenangi.Dengan pakaian singkat menjolok mata, pergaulan bebas, hiburan dan maksiat..itu semua bukan budaya kita.Ke mana perginya budaya sejati yang menjadi identiti negara kita?Sampai saya pun jadi keliru,pernah wujudkah budaya sopan santun, berbudi bahasa dan berhemah tinggi yang dahulu cukup sinonim dengan kita?Takkan ianya hilang dengan begitu drastik sekali.Kasihan generasi akan datang, tentunya mereka akan keliru, malah lebih keliru daripada saya.
Kesusasteraan : `Amat memeranjatkan, dalam masa 30 tahun hanya 800 hingga 1,000 buah buku pengajian tinggi atau ilmiah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu. Begitu juga penerbitan berbentuk kesusasteraan yang amat menyedihkan, iaitu tidak sampai 100 judul setahun. Bilangan ini tidak mencerminkan populasi yang ada.’ Kata-kata dipetik daripada Razali Endun, rujuk pos bertajuk Antara Sentimen dan Pengisian di laman Faisal Tehrani. Sesungguhnya mereka yang lebih arif untuk komen tentang hal ini sebab mereka karyawan besar.Jadi saya `no comment’.
Banyak aspek lagi tapi saya tak mahu komenlah..berdasarkan tiga aspek di atas pun saya rasa kita belum mencapai erti kemerdekaan sebenar.Baru fizikal, belum sentuh tentang penjajahan minda dan jiwa yang sangat signifikan di kalangan kita.Seterusnya anda boleh lihat di sini, sana dan situ untuk menyelami pendapat dan persepsi rakyat Malaysia lain berkaitan tentang merdeka.Ya, saya tak janggal membuat pautan (link) ke laman akhbar alternatif (baca : HARAKAH) sepertimana saya tak janggal membuat pautan kepada Utusan Malaysia (kepunyaan UMNO) dan The Star (kepunyaan MCA), atau pun blog orang kuat DAP (baca :Lim Kit Siang) atau pun blogger bebas (baca : Tok Rimau).Yang penting kita kena pandai membuat pilihan dan tak terpengaruh dengan ideologi yang mengorbankan agama dan prinsip yang dipegang teguh sejak sekian lama.Akhir kata,
SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE 49!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment