Saturday, February 03, 2007

Kehebatan wanita bernilai jika disertai dengan takwa


I longed to read a sirah related to women during the prophet's days, and recently I came across an interesting article about three grat women in all time, Fatimah Az-Zahra,Maryam bt Imran and Balqis the Saba' princess.Read the article and surely you find it worthwhile, Insya Allah.

(but sorry, the article is in Malay =)


KELEBIHAN dan keistimewaan wanita sentiasa menjadi sebutan dan kebanggaan. Kelebihan dan keistimewaan ini akan menjadi lebih berharga jika dihiasi keimanan serta ketakwaan kepada Allah.Lihat saja keperibadian Fatimah al-Zahra’, puteri Rasulullah saw yang sangat dikasihinya. Ketabahan, kesabaran dan keteguhan peribadinya menepati apa yang pernah dikatakan oleh ayahandanya: “Wahai Fatimah, sabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik wanita ialah yang memberi manfaat kepada keluarganya.”


Fatimah membuktikan bahawa beliau bukan saja menyumbang bakti untuk keluarganya, bahkan seluruh keluarga generasi Muslim sehingga kini. Selain isteri solihin yang sangat bertanggungjawab, Fatimah diceritakan sentiasa membantu ayahandanya dalam apa juga keadaan, terutama pada saat-saat genting.Contohnya, dalam Perang Uhud, diriwayatkan daripada Sahl bahawa beliau ditanya mengenai luka yang dialami oleh Nabi saw. Jawab Sahl, wajah Nabi saw terluka, gigi hadapannya patah dan serbannya koyak. Maka Fatimah membersihkan darah dan Ali pula menyiramkan air. Kemudian apabila Fatimah mendapat tahu bahawa air hanya akan menyebabkan darah lebih banyak keluar, maka beliau mengambil sepotong tikar lalu dibakarnya sehingga menjadi abu, kemudian ditampal pada luka itu, barulah darah berhenti.


Selain Fatimah al-Zahra’, Maryam binti Imran dan Ratu Balqis antara wanita yang memiliki keperibadian cemerlang. Kekuatan jiwa dan semangat kental yang ada pada diri mereka wajar dijadikan teladan.Kisah wanita cekal bernama Maryam ini diabadikan al-Quran dalam beberapa surah seperti surah Ali Imran dan Maryam. Ibu Maryam bernazar apabila beliau melahirkan anak kelak (yang diharapkannya seorang lelaki), anaknya itu akan berkhidmat di Baitulmaqdis iaitu Masjid Aqsa.Bagaimanapun, beliau akhirnya melahirkan seorang anak perempuan iaitu Maryam.


Maryam dewasa dan menjadi seorang wanita yang sangat jujur. Seluruh hidupnya dihabiskan untuk melaksanakan perintah Allah dan Maryam sentiasa memperoleh bimbingan serta perlindungan Allah. Ini sesuai dengan doa ibunya yang menyerahkan Maryam kepada Allah sebagai nazarnya.Firman Allah bermaksud “...Sesungguhnya akulah menamai dia Maryam dan aku melindungkannya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.” (Surah Ali Imran, ayat 36)


Maryam memperoleh kurniaan yang sangat besar ketika berusia 13 tahun. Jibril yang menjelma sebagai seorang lelaki membawa berita kepada Maryam bahawa beliau akan hamil dan melahirkan seorang putera yang diciptakan dengan kalimah yang datang daripada Allah.Berita kehamilan Maryam tersebar luas di kalangan Bani Israel dan ada orang Yahudi yang menuduh Maryam melakukan perbuatan keji dengan Yusuf al-Najjar (yang dikatakan saudara sepupunya dan lelaki soleh lagi tekun beribadah).


Di samping itu, ada pula yang menuduh bahawa Maryam melakukannya bersama Zakaria, yang bertanggungjawab memelihara Maryam selepas kematian bapanya, Imran. Begitu hina dan zalimnya mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian rupa kepada hamba Allah yang suci lagi bertakwa kepada-Nya. Selepas melahirkan Isa, Maryam kembali kepada kaumnya. Kisah ini dirakamkan oleh al-Quran.Firman Allah bermaksud: “Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan mengendongnya. Kaumnya berkata, `Wahai Maryam, sesungguhnya kamu sudah melakukan sesuatu yang amat mungkar. Wahai saudara perempuan Harun, bapamu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang penzina.”(Surah Maryam, ayat 27-28)


Dengan mukjizat kurniaan Allah, Nabi Isa yang masih bayi itu dapat berkata-kata untuk mempertahankan bondanya yang sememangnya seorang wanita suci. Dalam ayat lain, al-Quran menegaskan lagi kesucian diri Maryam. Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata, “Wahai Maryam, sesungguhnya Allah memilih kamu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas semua wanita di dunia (yang ketika dengan kamu).”(Surah Ali Imran, ayat 42).


Kisah Balqis iaitu seorang ratu yang memerintah kerajaan Saba’ disebut dalam Surah al-Naml 27, ayat 27-44. Ibu kota Saba’ ialah Ma`arib yang terletak berhampiran kota San’a, ibu kota Yaman sekarang.Ratu Balqis dianugerah Allah segala kekuasaaan dan kehebatan. Segalanya itu ialah dugaan dan ujian terhadap baginda serta kaumnya.Bagaimanapun, Ratu Balqis dan kaumnya masih tidak beriman dengan Allah.Mereka yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah.


Kehebatan kerajaan Ratu Balqis diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman. Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman supaya Ratu Balqis menerima risalah Allah.Ini seperti firman-Nya yang bermaksud: “Pergilah dengan (membawa) suratku ini lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”(Surah al-Naml, ayat 28)


Kewibawaan Ratu Balqis sebagai pemimpin terserlah apabila beliau mengamalkan prinsip syura dengan pembesarnya iaitu selepas menerima surat daripada Nabi Sulaiman. Ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Berkata dia (Balqis), `Wahai pembesar, berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini), aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku).“Mereka menjawab, Kita ialah orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang tinggi (dalam peperangan) dan keputusan berada di tanganmu, maka pertimbangkanlah apa yang kamu perintahkan.” (Surah al-Naml, ayat 32-33)


Ratu Balqis seterusnya menyatakan pandangannya bahawa setiap pemerintah (raja) yang mahu menakluki sesebuah negeri akan membinasakannya dan menjadikan penduduknya hina.Pada fikirannya itulah yang akan menimpa kerajaan Saba’. Oleh itu baginda membuat keputusan supaya dikirimkan urusan yang membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman.Apabila utusan itu sampai kepada Nabi Sulaiman, baginda berkata, “Adakah (wajar) kamu menolong aku dengan harta? Apa yang diberikan Allah kepadaku adalah lebih baik daripada apa yang diberikan-Nya kepadamu; tetapi kamu berasa bangga dengan hadiah kamu.Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka dengan pasukan tentera yang mereka tidak berkuasa melawannya dan kami pasti akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba’) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan) yang hina dina.”(Surah al-Naml 27:36-37)


Lantas Nabi Sulaiman menanyakan kesanggupan pembesarnya untuk membawa singgahsana Ratu Balqis kepada baginda. Selepas dibawa sebelum sempat matanya berkedip, baginda memerintahkan supaya singgahsana itu dirobohkan untuk menguji sama ada Ratu Balqis masih mengenali singgahsananya itu atau tidak.Kecenderungan tulus ikhlas Ratu Balqis untuk menyahut kebenaran dan seruan suci Nabi Sulaiman juga disebutkan oleh al-Quran. Firman-Nya bermaksud: “Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku. Kami diberikan pengetahuan sebelumnya* dan kami ialah orang yang berserah diri..”– (Surah al-Naml 27:42) (l Maksudnya mengenai kenabian Sulaiman. Ratu Balqis mengetahui kenabian Sulaiman sebelum singgahsananya dipindahkan dari Saba’ ke Palestin dalam sekelip mata.)Ratu Balqis turut mengakui kesilapan dirinya sebagai hamba Allah yang menzalimi diri sendiri kerana tidak beriman dengan-Nya.


Dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati, Balqis pun menyatakan keimanannya kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Tuhan semesta alam.Firman-Nya bermaksud: “Dikatakan kepadanya, `Masuklah ke dalam istana.’ Maka apabila dia melihat lantai istana itu, dianggapnya ia kolam air yang besar dan disingkapkannya kedua-dua betisnya. Berkatalah Sulaiman, `Sesungguhnya ia adalah istana yang licin yang diperbuat daripada kaca.” Berkatalah Balqis, `Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku menzalimi diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.”(Surah al-Naml, ayat 44).


No comments: