Thursday, July 12, 2007

Impian Palestin-Impian Kita Semua

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sesekali tak rugi kiranya kita menyorot dan menghayati kisah-kisah tragis, suka duka sahabat, saudara seIslam kita yang beribu batu jauhnya. Negara yang tidak pernah aman semenjak kali terakhir bumi ini diperintah sepenuhnya oleh kerajaan Islam, dan sentiasa akan menjadi rebutan antara dua pihak kerana kesucian dan sejarahnya yang sangat unik.

Novel Impian Palestin ini sangat mengujakan, sarat dengan informasi dan perincian pergolakan tentang apa yang benar-benar sedang dihadapi oleh saudara-saudara kita di bumi suci Palestin. Walaupun sebetulkan novel ini adalah campuran fiksyen dan fakta, saya yakin apa yang digambarkan tidak banyak lari daripada realiti sebenar yang berlaku di sana. Kisah yang digambarkan sungguh menginsafkan dan penuh dengan campuran emosi- ngeri, sedih, marah, kecewa danpenuh suka duka kerana mengambil latar hidup survival warga Palestin sehari-hari.

Antara babak yang ingin saya kongsikan di sini adalah apabila seorang pemuda Islam tiba-tiba berlari ke arah sekumpulan tentera Israel yang menceroboh kawasan rakyat Islam Palestin dengan tujuan untuk membaling batu dari jarak dekat. Namun baru beberapa langkah, pemuda itu tersungkur dan menyembah bumi kerana ditembak berkali-kali oleh pengganas Israel (ya, golongan Israel ini yang patut dan sebetulnya dicop pengganas!!). Setelah semua orang berkerumun melihat kejadian mengerikan ini, datanglah si ibu yang berlari mendapatkan sekujur tubuh kaku anaknya sambil meratap. Apa yang berlaku seterusnya sangatlah mengerikan. Sekumpulan tentera itu terus menembak si ibu pula bertubi-tubi sehingga syahid kedua beranak tersebut! Perasaan saya ketika membaca plot ini sukar digambarkan. Ngeri.Sedih.Marah.Kecewa.

Satu lagi soalan stereotaip, yang pernah juga terlintas dalam hati saya suatu masa dahulu, dan sering tertanya tanya oleh sesiapa yang kurang mengetahui tentang survival Palestin ini iaitu, kenapa orang Palestin berjuang dengan membaling batu ke arah tentera Israel, sedangkan Israel mempunyai kelengkapan perang yang cukup canggih dan hebat? Bukankah sudah semestinya orang Islam akan kalah?Kenapa tak dicuba strategi lain?

Kita perlu sedar bahawa umat Islam Palestin secara umum tidak dapat menerima sebarang senjata dari negara luar. Sedang bahan makanan pun terhad, apatah lagi alatan perang. Namun mereka berjiwa pejuang, mereka tidak pernah takut mati. Mereka terus gunakan apa yang ada pada mereka, malah suicide bombing juga dihalalkan bagi mereka kerana situasi yang sungguh getir. Mereka diperlakukan seburuk ini hanya kerana agama yang mereka anuti. Sedarlah kita, rejaman batu yang bertubi-tubi pun mampu membunuh tentera Israel yang memang sedia penakut itu. Kalau tak bunuh jasad, bunuh keberanian dalam jiwa mereka. Mereka terus berusaha dan berikhtiar dengan apa saja yang ada pada mereka. Lihat, betapa sanggup mereka berjuang kerana Islam. Sedangkan kita? Apa sangat yang kita hadapi sehari-hari? Jangan sampai kita kufur nikmat, makin banyak kemudahan yang Allah berikan makin jauh kita dari-Nya. Nauzubillah minzalik.

Cuma berkongsi sedikit sebanyak, selebihnya anda boleh baca sendiri dari novel yang diadaptasi dari bahasa Itali ini. Harganya pun sangat murah, sekadar RM14.90. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya, Insya - Allah.

No comments: