Sunday, April 27, 2008

Dari Beirut ke Jerusalem (Part 1)

Alhamdulillah, saya dah habis baca buku di bawah ni :



Dan macam biasa, terasa nak share dengan semua orang sedikit sinopsis tentang buku ini. Bagi saya memang sangat sangat best, menginsafkan dan mengharukan. Jadi saya dah berazam nak reserve dua tiga post khas untuk sinopsis ini. Betul, satu pos memang tak boleh habis..

Dari Beirut ke Jerusalem, sebuah catatan kisah benar yang sangat menarik dan menginsafkan. Tambah menarik apabila ia ditulis oleh seorang doktor perubatan berbangsa Cina dan sukarelawati yang aktif membantu rakyat Palestin dan Lubnan dengan menubuhkan Medical Aid for Palestinians (MAP). Beliau bertubuh kecil, dilahirkan di Pulau Pinang, membesar di Singapura dan menetap di Britain, pakar bedah ortopedik, fellow Royal College of Surgeons, England dan juga mempunyai seorang suami yang memahami dan hati yang besar, rakan rakyat Palestin. Buku ini memberikan inspirasi kepada kaum wanita dan kekaguman yang tidak terhingga oleh kaum lelaki.

SABRA DAN SHATILA

Catatan perjalanan ini berkisar kem pelarian Sabra dan Shatila, pada masa kejadian pembunuhan kejam beramai-ramai pada pencerobohan tahun 1982 sehingga lebih kurang lima tahun kemudian. Kisahnya begini. Selepas rakyat Palestin dihalau oleh Israel pada 1948, kebanyakan mereka tnggal di kem-kem pelarian di sekitar Lubnan, Syria dan Jordan, Mesir, Iraq dan negara Arab yang lain. Rakyat Palestin yang berasal dari utara Galilee (di Palestin) berjalan kaki dan akhirnya membuka penempatan berhampiran Beirut Barat. Antara kem pelarian di Beirut Barat adalah Sabra, Shatila dan Bourj el-Brajneh.

Sabra dan Shatila adalah dua kem pelarian yang dekat, bersebelahan antara satu sama lain. Jika orang lain membayangkan kem pelarian sebagai tempat sementara yang sempit, penuh dengan khemah-khemah dan mempunyai keperluan asas yang tidak sempurna, keadaan kem-kem ini sebelum tahun 1982 adalah sangat berbeza. Kem ini lengkap dengan sekolah ,pasar, kemudahan air dan elektrik, pejabat pos.. apa saja kemudahan asas yang selalu ada pada sebuah pekan kecil, ada di sini. Walaupun kem ini didirikan untuk para pelarian Palestin, semakin ramai rakyat Lubnan yang turut mendiami kem-kem ini dan hubungan mereka sudah seperti adik beradik. Ini mengingatkan saya pada persaudaraan Muhajirin dan Ansar semasa peristiwa hijrah Rasulullah saw. Tambah mengejutkan, ada yang mengatakan terdapat beberapa keluarga Yahudi yang turut tinggal di situ, yang akhirnya membuktikan persaudaraan sesama manusia tanpa mengira bangsa dan agama di kem pelarian tersebut.

Dr Ang Swee Chai bertugas sebagai doktor sukarelawati di Hospital Gaza ketika pencerobohan ini berlaku. Ya, Hospital Gaza bukan di Gaza, Palestin. Tapi penduduk di kem ini senang menamakan hospital, klinik, atau bangunan-bangunan penting dengan nama tempat di tanah tumpah darah mereka. Hospital Gaza yang terletak di dalam kem Sabra, berkhidmat untuk penduduk Sabra, Shatila, serta penduduk Beirut yang berdekatan.

PENCEROBOHAN 1982

Sebelum pencerobohan berlaku, para pejuang PLO (Palestine Liberalization Organization) adalah pasukan yang memperjuangkan hak orang Palestin yang turut bertapak di Beirut. PLO dahulu seperti sekarang, tidak sehaluan dengan kerajaan maka seringnya wujud pertempuran kecil di sekitar Beirut. Maka sudah lama penduduk kawasan itu berdepan dengan bekalan air dan elektrik yang terhad, sekatan dan halangan jalan, kekurangan makanan dan sebagainya. Sehingga pada satu ketika, tentera pro-kerajaan berjaya memujuk tentera PLO untuk berundur kononnya dengan demikian, keadaan di Sabra dan Shatila akan menjadi aman damai buat pertama kali.

Seperti orang asing yang lain, Dr Swee pada mulanya menganggap PLO adalah `pengganas’. Ini disebabkan mereka sering dilihat berkeliaran di kawasan kem dan membawa senjata. Apabila berita pengunduran mereka tersebar luas, Dr Swee terkejut melihat poster dan slogan-slogan yang bergantungan di merata tempat, bertulis , “Selamat tinggal Beirut, kami cintakan anda”. Tentulah slogan ini pelik bagi sebuah pertubuhan pengganas untuk menulisnya. Tapi lama-kelamaan, Dr Swee baru mengetahui pengunduran pejuang PLO ini meninggalkan isteri dan anak-anak, rumah yang didiami setelah sekian lama. Mereka tak kisah berkorban untuk melihat keamanan dicapai di Beirut walaupun itu bermakna mereka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga yang dicintai. Nah, inikah yang dikatakan pengganas?? ( masa macam ni rasa cam nak pinjam quote Nabil Raja Lawak : Lu pikir laa sendiri..)

Selepas pengunduran PLO itu, semua orang mengharapkan hari esok yang cerah untuk mereka. Kesemua penduduk amat optimistik, setiap sudut boleh dilihat penduduk kem menyimen batu-bata, memasang tingkap rumah yang berlubang, membersihkan kawasan dan membina bangunan baru. Yalah, mereka dah lama hidup serba kekurangan kerana peperangan kecil yang berterusan antara PLO dan tentera pro-kerajaan, serta pasukan- pasukan ekstremist yang lain. Pada 14 September 1982, mereka telah dapat menggunakan air dari paip, halangan jalan pun telah dialihkan dan Hospital Gaza telah dapat beroperasi dengan peralatan yang cukup dan semakin memuaskan.

HARI YANG MENGERIKAN

Sehinggalah pada pagi 15 September, keesokan harinya, bunyi pesawat yang terlalu kuat memecah keheningan awal pagi dan bakal menandakan satu detik paling mengerikan dalam sejarah hidup pelarian kem Sabra dan Shatila. Apabila matahari semakin tinggi, peluru dan bom sudah mula menghujani kawasan hospital dan tentunya, di sekitar Sabra dan Shatila. Penduduk yang cedera dan mampu berjalan memenuhi ruang hospital, kerana semua jalan ditutup termasuk untuk ambulans. Keadaan semakin kelam kabut. Pada jam 4.30 petang, mereka menerima berita tentera Israel telah menawan Hospital Akka (sebuah lagi hospital di kawasan itu) dan menembak doktor, jururawat dan pesakitnya. Mereka telah mengepung kem Sabra dan Shatila.

Pada jam 5 petang, pasukan komando Israel telah mula kelihatan di jalan-jalan utama sekitar kem. Ini adalah pertama kali sejak sekian lama, tentera Israel berani menjejak kaki ke kawasan itu. Sebelum ini mereka hanya melancarkan serangan dari udara, laut atau dari pergunungan di sempadan. Mungkin mereka hanya berani menyerang apabila pejuang PLO telah berundur.Keadaan berlarutan sehingga keesokan harinya. Mangsa letupan bom dan tembakan semakin ramai memenuhi hospital. Mereka memberitahu penceroboh bukanlah tentera Israel, tetapi puak bersenjata yang bertutur dalam loghat Ba’albek….

*Siapakah penceroboh itu sebenarnya?
*Adakah Dr Swee dan petugas asing di situ akan selamat?
*Bilakah penyembelihan beramai-ramai penduduk Sabra dan Shatila berlaku?

Saya akan sambung pada pos yang seterusnya….TUNGGU!

4 comments:

Anonymous said...

salam..........

cayala........ sy mmg tgh cari uku ni . tu pun sy jumpa pasai buku ni kat internet. dulu sy ade beli buku tentang mujahid anak melayu best gak(terutama pasai jihad orang islam yg sentiasa dibantu Allah). sy arap buku ni pun same gak.

Shahira I. said...

mujahid anak melayu.. macam best. siapa ye author dia?

Anonymous said...

salam............

sy tak ingat la pasal dah lame dah buku tu , sy beli tahun 2001 lagi skrg buku tu kat kampung sg besar, skrg sy kat kota warisan sepang. tp buku tu pasal anak melayu yg menyertai mujahid di afganistan. nanti klu sy balik kampung sy tgk balik,

Azlin Halim said...

stress nye aku cari buku ni.. buku tajuk yg sama tp ditulis oleh thomas L. friedman banyak la.. takpe la..bagus gak jumpe2..kalo x mesti aku terberenti untuk bace buku pelajaran..