Monday, October 16, 2006

Mencari LAILA ITU...


Ya, Ramadhan hanya tinggal lebih kurang enam hari sahaja lagi sebelum memberi laluan untuk Syawal.Kita akan merindui Ramadhan sebelas bulan lamanya, sebelum ia kembali menjengah kita, itupun jika Allah izinkan.


Namun, sudahkah anda berjumpa dengan laila itu?

Laila yang mana?

(p/s:semestinya bukan nama orang)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur’an) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!


Ya, laila ini.Laila yang diceritakan Allah dalam Al Quran,Surah Al Qadr, surah ke 97.Anda semua boleh mencari fadhilatnya,dalil berserta sanad,dan lain-lain sama ada dengan mengGoogle atau cari buku-buku yang berkaitan.Saya cuma ingin berkongsi kisah diri saya di sini.

Pernahkah anda mencari lailatul qadar?

Ataupun paling tidak, berusaha untuk mencarinya.Seingat saya,pencarian pertama saya sewaktu saya betul-betul sedar keberkatan laila yang mulia, cuma sedetik dalam setahun ini, sewaktu awal sekolah menengah.Mungkin tingkatan satu atau dua, tak ingat dah.Tapi kalau anda semua ingat 7-8 tahun yang lalu, pelajar sekolah dapat berpuasa sepenuhnya di rumah sebab waktunya selari dengan cuti persekolahan.Tu yang seronok, bersahur, berbuka dengan keluarga.

Saya masih ingat waktu itu, ketika saya begitu serius ingin mencari si laila.Saya nekad tak tidur malam.Sebenarnya perkara ini agak pelik dan akan jadi persoalan kalau keluarga saya tahu, jadi saya rahsiakan `misi’ saya ini.Mujur saya ada bilik sendiri(maklumlah,seorang saja adik beradik perempuan),saya memang nekad.Lebih kurang jam 2 pagi,selepas surfing internet(aktiviti harian waktu itu,baru tingkatan 2 dah kaki internet=P).Saya cuba berjaga, tapi as expected jam 3.00 pagi sudah ngantuk.Biasanya kalau anda perasan, waktu sepuluh malam terakhir, suasana malam sangat hening, sampai bunyi binatang pun susah nak dengar.apatah lagi kalau rumah di kawasan taman perumahan macam saya.Bunyi kucing yang selalu bergaduh pun tiada.Mungkin mereka semua turut mencari lailatul qadar seperti saya.

Tiba-tiba dalam mengantuk konon untuk bertemu lailatul qadar, saya menjadi takut.Orang kata kalau malam itu terjadi, air akan menjadi ais.Masanya cuma sedetik,jadi amat sukar untuk menemuinya tanpa keazaman dan keimanan yang kuat.Kebetulan atas meja ada secawan air, yang tertinggal selepas moreh tadi.Alamak, saya betul-betul takut dan tak sedap hati.Adakah ini petanda lailatul qadar?Atau saya yang cuak sendirian?Akhirnya dalam menunggu dan menunggu, saya tertidur.(Sungguh naif sekali..hehe)

Esoknya saya bangun pagi (tak sahur sebab dah makan sebelum tidur, kira sahur la tu),selepas solat Subuh, terus menyelak langsir dan melihat fajar terbit.Orang kata, jika malam sebelum itu lailatul qadar, pagi itu akan menjadi sungguh damai dan tenang,auranya lain macam.Matahari pun tak berapa nak menyinar garang, hanya seadanya saja.Akur dengan kejadian Allah yang luar biasa malam sebelumnya.Dan hati saya pun menyesal, ala, semalam kot laila itu..aku dah terlepas...sedihnya.Tapi betulkah semalam? Dan aktiviti semalam akan berterusan sampailah malam 30 Ramadhan,dengan harapan akan bertemu si laila.

Sejak itu saya sering mencari tanda-tanda lailatul qadar, tapi mengikut pengalaman saya memang 10 hari terakhir tu keadaanya lebih kurang sama.Setiap paginya tenang,damai dan tiada matahari memancar panas seperti hari-hari lain.Malamnya pula sering hujan rintik-rintik, jadi semestinya keadaan jadi sejuk, dingin dan hening.Mungkin inilah hikmah Allah,sebab bukan calang-calang orang boleh bertemunya.Detik setiap dosa diampunkan,detik lebih mulia dari seribu bulan, detik setiap doa dimakbulkan.Sungguh mengujakan sesiapa yang mencari cinta-Nya.Sesungguhnya, Allah Maha Besar.

Pagi ini pun sewaktu memandu ke pejabat, keadaan pagi sungguh damai dan tenang.Jalan pun basah sebab hujan sikit malam tadi.Dan matahari, ya, jarang dapat lihat matahari yang macam `malu-malu’ nak menyinar, tak terik pun.Warna merah oren, boleh nampak bentuk bulatnya dan ada rays of kabus(awan?).Kabus banyak di gunung, atau mungkin saja jerebu.Sebab dengarnya hari ni tahap API (air pollution index) di banyak tempat naik lagi, sehingga mencapai >100( tahap kurang sihat).Mungkin itu juga sebabnya.Mungkinkah lailatulqadar?Segalanya mungkin kan, hanya Allah je yang tahu bila sebenarnya Dia nak jadikan laila al-qadr.

Ni petikan petanda lailatulqadar yang saya ambil dari Pandangan seorang ustaz :

Pertanda sesuatu malam itu ialah lailatul qadar dapat diketahui melalui riwayat sahih yang disebutkan pertandanya dalam riwayat Abu Hurairah ra bahawa rasulullah pernah bersabda :“ Paginya malam Lailatul qadar itu ialah apabila mataharinya muncul dengan lemah cahaya dan kurang panasnya seolah ianya redup sehingga meninggi” (hadith sahih riwayat Muslim : 762).

Manakala menurut riwayat Ibn Abbas ra berkata telah bersabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Lailatul qadar itu malam rahmah berkah dan bercahaya (berseri-seri indah) , tidak panas dan tidak pula sejuk dan pada paginya matahari menjadi lemah (cahaya dan panasnya) kemerah-merahan” (hadith hasan riwayat Thiyalisi no.349 dan Ibn Khuzaimah dan Bazzar).Kebiasaannya sekiranya hujan pada waktu siang maka malamnya akan menjadi sebuah malam yang sederhana suhunya dan tidak panas serta tidak sejuk dan keesokkan harinya menjadi redup menurut fenomena kebiasaan. Walaubagaimanapun hanya Allahlah yang mengetahui secara tepat dan hendaklah umat islam berusaha beribadah setiap malam dan waktu kerana Allah dan mengharap redha-Nya.

Seterusnya boleh baca lebih lanjut blog beliau untuk mengetahui persediaan (belum terlambat lagi tau!Ada 6 hari lagi!!),fadhilat,dalil-dalil dan sebagainya tentang lailatul qadar dan Ramadhan.

Namun memang fitrahnya iman manusia ni pasang surut.Mungkin hari pertama (21 Ramadhan) sungguh bersemangat baca Quran, Qiamulail, solat sunat dan sebagainya, tapi malam kesesokannya, 23,24,28 Ramadhan belum tentu.Saya juga begitu, tapi yang penting kita kena berusaha sedaya upaya untuk mengharapkan redha-Nya, semoga kita diberi kesempatan berjumpa laila al-qadr.Sungguh,siapa tak mahu?Apa-apa pun ikhlaskan niat, beribadah kerana-Nya, bukan sebab lain.Insya-Allah Dia takkan lupakan hamba-Nya yang mengingati...=)

Jom, cari laila...!!

No comments: