Monday, April 02, 2007

Salam Keputeraan buat Rasul Junjungan

Sabtu lalu merupakan hari Maulidurrasul yang disambut oleh kebanyakan penduduk Islam di seluruh dunia.Sejak akhir-akhir ini, saya perasan memang sambutan Maulidurrasul peringkat kebangsaan dan sambutan-sambutan lain macam Maal Hijrah pun hanya dibuat dalam dewan.Dah tiada perarakan macam dulu-dulu.Dalam satu segi eloklah tu, tak perlu membazir buat kostum atau pakaian seragam untuk perbarisan, kena praktis lagi.Sambutan sebegini bukan diukur dengan tahap kemeriahan, tapi sejauh mana penghayatan seseorang itu terhadap hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasalam.

Saya pula, kebetulan baru menghabiskan biografi Nabi Muhammad bin Abdullah versi bahasa Melayu.Jadi saya mengambil peluang berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat selepas Subuh di pagi Sabtu itu, juga berkongsi kisah serba sedikit dengan adik-adik junior. Hajat di hati ingin membangkitkan kembali perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah dan menghayati perjuangan baginda yang bersusah payah hingga tertegaknya Islam di muka bumi.

Sangat seronok apabila dapat recap kembali sorotan sirah baginda Rasulullah, sebab kisah perjuangan baginda itu cukup lengkap dan sempurna untuk kita sebagai umat mengambil iktibar dan pengajaran. Kita ni apabila diduga dengan sedikit ujian, dah mula melenting, marah-marah rebel, protes dan sebagainya.Sedangkan Nabi yang dibaling batu di bumi Taif sehingga berdarah kaki baginda dalam usaha baginda untuk berdakwah, pun baginda sanggup menolak tawaran malaikat untuk menterbalikkan bukit untuk menghukum penduduk Taif atas kebiadapan mereka. Sebaliknya baginda mendoakan agar jika tidak penduduk Taif sekarang, mungkin anak cucu mereka pula yang akan beriman kepada Allah.Demikian mulianya akhlak Rasulullah..

Satu lagi yang sangat signifikan dalam pengajian sirah adalah kita boleh mengetahui tahap kecintaan sahabat-sahabat kepada Rasulullah, dan ukur pula dengan diri kita sendiri. Antara peristiwa yang amat terkesan dalam jiwa saya adalah apabila Rasulullah wafat, Umar Al Khattab tidak dapat menerima kewafatan baginda. Beliau terus mengatakan yang pesuruh Nabi akan kembali,dan beliau akan memancung sesiapa yang mengatakan Pesuruh Allah telah wafat. Sedangkan Abu Bakar yang sifatnya tenang, menenteramkan keadaan dan terus naik ke atas mimbar.Beliau terus menyampaikan kata:

“Barang siapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah mati.Barang siapa menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati.”
Seterusnya beliau sambung dengan membaca ayat 144 dari surah Al Imran yang bermaksud,

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul yang mati atau terbunuh.Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, patutkan kamu berbalik berpaling tadah dan menjadi orang kafir? Dan ingatlah, sesiapa yang berbalik menjadi kafir maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun.Dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur akan nikmat Islam yang tiada tolok bandingannya itu.”

Umar yang mendengar kata-kata ini terus jatuh terduduk dan berkata, “Apakah ayat ini ada dalam Al Quran”. Walaupun beliau hafal Al-Quran,tetapi kerana ujian yang terlalu besar dan kejutan ini, Umar yang gagah hilang pertimbangan seketika.

Lihatlah betapa kasihnya sahabat-sahabat kepada Rasulullah.Sedangkan kita bagaimana? Apa yang kita lakukan untuk menunjukkan kecintaan kita terhadap manusia paling mulia, kekasih Allah ini?

Teringat kata-kata seorang junior saya sebagai respon setelah saya kongsi kan kisah ini.Dia berkata, kita ni memang ramai yang bila ditanya, semua mengaku idola maisng-masing adalah Rasulullah, tapi apa yang kita tahu tentang kekasih Allah ni sebenarnya? Ke hanya sembang kosong semata-mata?

Jadi marilah kita mula mendalami sirah Nabi, kalau yang tak berapa biasa tu cubalah sikit-sikit.Kalau buku Harry Potter ke, Sophie Kinsella ke, Stephen Covey ke boleh habis dengan cepat, kenapa tak buku sirah Rasulullah? Tak perlu la terus mengkhatamkan sirah Nabi dari kelahiran hingga kewafatan baginda sekaligus, buat la sekadar mampu.Semoga baginda nanti turut looking forward untuk bertemu kita sebagaimana kita ingin sangat bertemu baginda di akhirat kelak..

Wallahua’lam.

No comments: