Monday, August 07, 2006


Akta Universiti dan Anak Muda

Oleh Hishamuddin Rais

Dunia ini akhirnya akan dimiliki oleh anak-anak muda. Dunia ini bukan milik orang tua untuk selama-lamanya. Saya cukup yakin dengan kenyataan ini. Orang-orang tua, termasuk diri saya sendiri, seharusnya menerima hakikat bahawa dunia telah diamanahkan kepada kita untuk sementara waktu sahaja. Atau lebih tepat lagi dunia ini kita pinjam dari anak-anak muda. Ini adalah hakikat perjalanan sejarah hidup manusia.Saya akui adalah terlalu susah untuk orang-orang tua, terutama yang memiliki kuasa untuk menerima hakikat ini. Kenyataan saya ini berasaskan apa yang telah dan yang sedang saya perhatikan berlaku dalam negara kita ini. Ini bersangkutan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang telah lebih dari 35 tahun dihempapkan kepada anak muda, pelajar dan mahasiswa dalam negara kita ini.

Saya perhatikan generasi tua yang memiliki kuasa dalam negara kita ini seolah-olah memiliki satu niat yang tidak jujur terhadap anak-anak muda. Dari satu segi generasi tua yang berkuasa ini mahu dilihat umum seperti ingin menyediakan ruang yang sihat untuk anak-anak muda ini membesar. Dalam satu segi yang lain generasi tua ini mahu anak-anak muda ini membesar dalam kerangka dan acuan tua mereka.Keinginan agar anak muda lahir dan membesar dalam ruang dan kerangka tua inilah yang melahirkan permasalahan. Dalam sejarah tamadun manusia; perkembangan, pembaharuan dan pencerahan semuanya dilakukan oleh generasi muda. Falsafah, pendapat, idea dalam semua bentuk telah dibuktikan hanya berupaya dilahirkan oleh generasi muda. Hanya yang muda berani meneroka membuka jalan untuk pembaharuan.Muda dan tua dalam konteks yang saya maksudkan ini memiliki dua sifat – muda/tua biologi dan muda/tua pandangan. Socrates yang menjana pemikiran wujudiah manusia moden hari ini mungkin berbiologi tua tetapi pandangan yang diajukan oleh si pemikir ini bersifat muda. Justeru anak-anak muda di Athens berkerumun untuk menghayati falsafah Socrates.

Tanpa anak-anak muda ini tidak mungkin tamadun manusia yang kita alami hari ini dapat berkembang.Isa dari Nazareth disalib dalam kemudaannya kerana melawan kezaliman dan kemungkaran. Che Guevara wafat dibunuh di zaman mudanya. Gerakan nasionalisma dan pembebasan Tanah Besar China bermula dengan gerakan pelajar 4 Mei. Indonesia merdeka kerana Sumpah Pemuda. Turkey menerbus masuk ke dunia moden melalui Young Turks. Ahmad Boestaman, Chin Peng, Shamsiah Fakeh dan kaum nasionalis yang menjana gerakan nasionalis di Tanah Melayu telah mula bergerak sebelum umur mereka mencecah 30 tahun.Muda membawa erti keberanian. Keberanian di sini bermakna berani menanamkan yang tua dan melahirkan yang baru. Hanya yang muda berani menolak dan mengoyakkan bingkai-bingkai sosial lama yang mengongkong dan melemaskan masyarakat. Anak-anak muda memiliki angan-angan dan mimpi-mimpi yang boleh dijadikan cita-cita. Dari cita-cita inilah lahirnya idealisme untuk melahirkan sesuatu yang baru, bersih, bertamadun dan menarik.Kemudaan yang direncah dengan idealisme adalah ubat bedil yang paling ampuh untuk membawa apa sahaja bentuk perubahan dalam masyarakat.

Tenaga muda ini muncul kerana anak-anak muda ini masih tidak terikat dengan rantai budaya atau rantai-rantai ekonomi yang memberatkan perjalanan cita-cita dan angan-angan mereka.Anak muda menjadi berani kerana mereka masih bebas dari rasuah budaya yang sentiasa ingin menjerat dan memerangkap mereka. Mereka masih suci dari rasuah budaya yang ingin memperkukuhkan segala bentuk yang lama dan yang telah pudar sinar tarikannya. Budaya yang tidak merayakan kemudahan yang bersalut dengan idealisme pasti akan melahirkan sebuah masyarakat yang malap, gelap dan lembab.

Malap dan lembab inilah yang sedang kita rasakan apabila kita bertemu dengan anak-anak muda kita terutama jika kita berinteraksi dengan mereka di kampus atau di wilayah pengajian tinggi. Kelembaban dan kemalapan ini datang dari pelbagai bentuk – dari segi akademik, dari segi sosial/pergaulan atau dari segi pemikiran.Hujah yang diberikan kepada ibu bapa dan rakyat Malaysia ketika AUKU diluluskan oleh parlimen ialah dengan wujudnya akta ini maka anak muda, pelajar dan mahasiswa kita akan mencapai kecemerlangan akademia yang akan melintasi tujuh petala bumi dan tujuh petala langit. Dengan AUKU para pelajar tidak akan diganggu gugat oleh aktiviti-aktiviti yang tidak bersangkutan dengan dunia akademia. Masa para mahasiswa dan pelajar hanya akan ditumpukan kepada buku dan ilmu.Hujah ini cukup comel. Tetapi hujah ini ternyata hujah bohong. Fakta-fakta terkini telah membuktikan bahawa dunia akademia kita semakin merosot pencapaiannya. Kita tidak perlu membanding diri kita dengan sesiapa pun.

Kita hanya perlu melihat pencapaian diri kita hari ini dengan diri kita 35 tahun dahulu. Selama 35 tahun kewujudan AUKU masih tidak muncul-muncul ahli pemikir, ahli falsafah atau para akademia yang buah kerja pemikiran mereka dapat mencerahkan kegelapan yang ada di hadapan kita.Masih belum muncul para ilmuwan dari universiti-universiti kita yang berupaya mencanangkan ilmu. Mencanangkan ilmu untuk pencerahan warga dunia memang jauh sekali. Ini memang tidak pernah saya harapkan. Apa yang saya harapkan hanyalah buah fikiran dan keilmuan mereka untuk mencerahkan budaya dan pemikiran sesama kita sendiri.Melalui AUKU kreativiti kemudaan dan idealisme para anak muda telah dituakan. Anak-anak muda di dalam kampus telah dituakan fikrah mereka sebelum mereka sempat melayari zaman kemudaan mereka. Zaman muda yang seharusnya zaman berani meneroka, berani bertanya dan berani mempersoalkan apa sahaja. Zaman inilah yang telah dirampas dari mereka. Hasilnya para pelajar kita hanya menjadi Angguk-Angguk dan Geleng-Geleng seperti seni kata lagu kumpulan rap Ahlifiqir dari kota Singapura.

Rasa saya, merampas kemudaan idealisme anak-anak muda kita di kampus-kampus adalah satu jenayah nasional yang tidak dapat diampunkan. Menuakan anak-anak muda kita sebelum mereka tua seharusnya disenaraikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan. Jika perlu, jenayah ini wajib di hadapkan ke Mahkamah Antarabangsa di Den Hague Belanda sama seperti jenayah Henry Kessinger terhadap pembunuhan berpuluh ribu rakyat Vietnam. Atau setaraf dengan jenayah Ahmad Chalabi yang khianat membawa masuk tentera Amerika untuk menyerang Iraq.Jangan terperanjat apabila saya menyatakan bahawa saya pernah terbaca tentang wujudnya ahli-ahli akademik dan budayawan negara yang hanya berminat mengumpul botol-botol syampu yang dipungut dari bilik hotel-hotel tempat mereka berseminar. Juga tolong jangan ketawa, kerana saya juga pernah terbaca tentang seorang akademik yang kerjanya hanya mengumpul beg-beg seminar Louis Vuitton dari Golok yang dianggapnya bernilai sejarah. Dan tolong jangan menangis apabila orang-orang berjenis ini merasa begitu berbangga kerana mereka dianggap ilmuwan dan budayawan negara.Saya rasa tandus keintelektualan dalam kampus-kampus tempatan kita telah sampai ke tahap nazak. Kesakitan kurang menjana ilmu ini telah menjadi budaya sehingga menakutkan kaum pemodal yang semakin memilih-milih untuk memberi perhatian kepada graduan-graduan dari universiti luar negara sebagai pilihan utama.

Agenda AUKU yang paling minimum ialah untuk menjadikan universiti sebagai kilang siap gudang pengeluar tenaga kerja. Nampaknya agenda yang tidak ada sangkutan dengan ilmu ini pun telah gagal dilakukan oleh universiti dan kolej tempatan.Dalam keadaan ini, saya cukup hairan apabila membaca kenyataan atau khutbah politik orang-orang tua yang begitu patronising terhadap anak-anak muda, terutama apabila AUKU ini dibincangkan. Anak-anak muda dianggap seperti tidak berupaya untuk berfikir atau melakukan sesuatu yang bertanggung jawab. Orang-orang tua jenis seolah-olah terlupa bahawa pada satu ketika dahulu mereka juga telah melintasi dunia kemudaan.

Memang betul anak-anak muda kerana kemudaan dan kurang pengalaman hidup, besar kemungkinan mereka akan melakukan kesilapan. Tetapi membuat salah bukan hanyadimonopoli oleh orang muda.Berani membuat silap adalah tanda bahawa anak muda itu telah berani melakukan sesuatu. Pembaharuan dan penerokaan dalam sejarah tamadun manusia ini penuh dengan pelbagai macam salah dan silap. Dengan melakukan sesuatu, walaupun salah barulah timbul pengalaman. Hanya mereka yang muda dan berani sahaja yang tidak takut untuk melakukan kesalahan sebagai pengalaman. Mengumpul pengalaman juga adalah salah satu sumber ilmu.Anak muda yang tidak melakukan kesalahan atau kesilapan adalah anak muda yang telah dituakan. AUKU bertanggungjawab menuakan jiwa berani anak muda segala bangsa dalam negara kita ini.

No comments: